Thursday, April 15, 2010

Penubuhan IFC?.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum w.b.t..Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat dan keizinanNya dapat lagi diri ini bernafas dan masih berkesempatan untuk membaca blog-blog ikhwah dan berkongsi sesuatu di ruangan ini..Terdetik di hati ni nak berkongsi mengenai isu penubuhan IFC..

Apakah Interfaith Commision (IFC)?

IFC yang nama asalnya ialah IRC - Inter Religous Council (IRC) adalah sebuah suruhanjaya yang dicadangkan penubuhannya seperti sebuah badan berkanun yang mempunyai kuasa undang-undang yang boleh mengubah ajaran sesetengah agama (baca: agama Islam) akibat desakan penganut agama lain. Badan ini berfungsi mirip sebuah mahkamah dan segala keputusannya adalah muktamad ke atas agama yang bersabit. IFC juga juga akan berfungsi seperti SUHAKAM yang menerima dan melayan aduan-aduan berkaitan dengan agama.

Siapakah yang mencadangkan penubuhan IFC?

IFC digagaskan penubuhannya oleh Malaysian Consultative Council Of Buddhism, Christianity, Hinduism dan Sikhism (MCCBCHS) atau pun Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh melalui memorandumnya kepada Majlis Peguam bertarikh 21 Ogos, 2001. Presiden MCCBCHS ialah V. Harcharan Singh.

Siapakah yang paling bersemangat sekali menyokong penubuhan IFC?

Majlis Peguam3 terutamanya Jawatankuasa Kecil Hak Asasi Manusia amat kuat menyokong penubuhan IFC dan amat berharap ia akan berjaya. Kronologinya seperti berikut:
* Pada 8 Ogos, 2001, Majlis Peguam telah menerima satu memorandum daripada MCCBCHS mengenai perkara ini dan selepas itu ide penubuhan IRC berjalan dengan lancar.
* Pada 10 Disember, 2001, Majlis Peguam menganjurkan forum mengenai 'Kebebasan Beragama' dan menerbitkan jurnal khas bernama INSAF.
* Pada 8 Disember, 2001 satu perayaan 'Festival of Rights' diadakan dengan tema 'Kebebasan Beragama'.
* Pada 17 Mac, 2003 bengkel untuk menimbang keperluan wujudnya IRC diadakan. Bengkel ini gagal apabila kesemua NGO Islam menarik diri daripada terlibat dengan penubuhan suruhanjaya ini iaitu ABIM, ACCIN4 , JUST dan Sisters In Islam5 termasuk Dr Chandra Muzaffar yang menjadi antara orang awal yang mencadangkan dialog antara kepercayaan. Bagaimana pun Sisters In Islam kemudian menyertai semula dan menyokong penubuhan suruhanjaya ini.
* Pada pertengahan tahun 2004, satu persidangan mengenai penubuhan IRC diadakan. Bagi menunjukkan wujudnya sokongan, penganjur seminar telah melantik kesemua ahli Jawatankuasa Kecil Syariah Majlis Peguam sebagai ahli jawatankuasa penganjur tanpa pengetahuan mereka.
* Mengemukakan draf ketiga undang-undang penubuhan IFC bertarikh Januari 2005 kepada persidangan cadangan penubuhan IFC.


Apakah matlamat penubuhan IFC?

Matlamat IFC ialah untuk meminda beberapa ajaran asas Islam yang bakal merugikan orang Islam dan berpihak kepada kepentingan orang-orang bukan Islam.

Apakah tuntutan orang-orang bukan Islam yang dibuat melalui IFC? 6

1. Seseorang anak yang dilahirkan oleh ibubapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.
2. Orang-orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.
3. Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh mahkamah syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah sivil.
4. Tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan seseorang Muslim bahawa ia beragama Islam.
5. Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang.
6. Seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak.
7. Orang-orang yang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pesakanya selepas kematiannya.
8. Kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadat orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang serupa untuk masjid. Kerajaan juga perlu membenarkan pembinaan rumah-rumah ibadat orang bukan Islam tanpa perlu adanya peraturan-peraturan tertentu.
9. Orang-orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.
10. Bibel dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan kepada umum secara terbuka.
11. Pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar di semua sekolah.
12. Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam pula hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing.
13. Orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang- orang bukan Islam.
14. Sepatutnya Islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.

Apakah bahayanya penubuhan IFC terhadap Islam?

Berdasarkan draf undang-undang penubuhan IFC, suruhanjaya ini jika ditubuhkan amat berbahaya kepada Islam dari sudut:


1. Membuka ruang seluas-luasnya untuk orang bukan Islam mencampuri hal ehwal agama Islam.
IFC jelas sebuah suruhanjaya anti Islam. Ini adalah campurtangan orang bukan Islam dalam hal ehwal agama Islam. Hak perlembagaan bagi mengamalkan agama sendiri (Artikel 11(1) Perlembagaan Persekutuan - Freedom of religion (Kebebasan beragama) tidak berlanjutan kepada mempersoalkan agama lain dan tidak sampai menuntut ajaran agama orang lain dipinda semata-mata untuk disesuaikan dengan kepentingan sendiri. Orang-orang bukan Islam berhak untuk menuntut hak mereka mengamalkan agama sendiri tetapi tidak sampai mempersoalkan dan campurtangan urusan agama Islam. Campurtangan ini amat bahaya. Perkara yang berkaitan dengan agama Islam hendaklah diselesaikan oleh mereka yang berkelayakan di dalam Islam sendiri. 7
2. Menjadikan undang-undang Allah mesti tunduk kepada norma-norma antarabangsa yang dicipta oleh manusia yang menjejaskan aqidah.
Norma-norma antarabangsa tersebut ialah:
* Deklarasi Hak Asasi Sejagat 1948
* Konvensyen untuk menghapuskan semua jenis diskriminasi terhadap wanita (disahkan oleh Malaysia pada 5 Julai 1995)
* Konvensyen mengenai hak kanak-kanak.
* Deklarasi untuk menghapuskan semua bentuk ketidaktoleransi dan diskriminasi berasaskan agama.
* Deklarasi mengenai hak-hak orang untuk mempunyai kewargaan, sukukaum, agama dan bahasa minoriti.
* Deklarasi Vienna dan plan tindakan.
Kesemua norma antarabangsa tersebut belum disahkan oleh Malaysia kecuali yang dinyatakan sebaliknya. IFC menuntut supaya agama mestilah mengikut ketentuan norma antarabangsa di atas. Norma antarabangsa tersebut tidak membezakan antara orang Islam dan bukan Islam. Bagi orang Islam, peraturan untuk kehidupan mereka bukan lagi Islam tetapi norma-norma antarabangsa tersebut yang dicipta oleh manusia. Apa sahaja ajaran Islam yang bertentangan dengan norma antarabangsa hendaklah dihapuskan. Ini bermaksud, Allah mesti tunduk kepada norma antarabangsa. Ini menjejaskan aqidah seorang Muslim.
3. Orang Islam bebas melakukan apa sahaja
Manusia adalah bebas. Begitu juga orang Islam adalah bebas. Mereka bebas melakukan apa sahaja termasuk mengamalkan ajaran agama lain tetapi masih boleh mengaku sebagai seorang Muslim atas nama kebebasan beragama. Kebebasan agama ini dijamin oleh norma antarabangsa di atas.
4. Orang Islam bebas untuk murtad
Deklarasi sejagat mengenai hak asasi manusia menyatakan 'setiap orang mempunyai hak untuk bebas berfikir, suara hati dan agama. Ini termasuk kebebasan menukar agama....(artikel 18)'. Ini bermaksud status sebagai seorang Muslim bukan ditentukan oleh Tuhan tetapi ditentukan oleh manusia. Berdasarkan norma antarabangsa, Islam tidak berhak menghalang penganutnya keluar daripada Islam kerana itu dibenarkan oleh norma antarabangsa.
5. IFC berhak menentukan status agama seseorang.
Seseorang yang ingin murtad boleh mengemukakan permohonannya kepada IFC. Permohonannya akan ditentukan oleh ahli-ahli IFC yang diantaranya adalah bukan Islam. Ini adalah campurtangan yang amat nyata dalam hal ehwal agama Islam. Jabatan Pendaftaran Negara tidak berhak menolak permohonan seseorang untuk menukar nama daripada nama Islam kepada bukan Islam dengan alasan suatu percubaan untuk murtad. Jika permohonan ditolak ini menjejaskan keharmonian dan kebebasan beragama. Perkara ini terkandung di dalam seksyen 19(3) draf undang-undang IFC.

Apakah sikap kita?

Menentang sekeras-kerasnya penubuhan IFC. Kita sanggup mati demi agama kita. Penubuhannya bukan sekadar perlu ditangguhkan, tetapi jangan sama sekali dibenarkan. Semua saluran perlu digunakan untuk menghalang penubuhan IFC.

-abim.org-

-dengar cerita sudah dipersetujui penubuhannya..sapa-sapa yang tahu mengenainya,inform ye..-

Monday, April 5, 2010

Ya Allah..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang..

Firman Allah S.W.T di dlm surah Ar-Rahman,ayat 29:

Semua yang ada di langit dan di bumi selalu memohon kepadaNya. Setiap waktu ia berada dalam aktivitiNya.

Apabila laut bergelombang,ombak bergelora,dan angin bertiup kencang,semua penumpang kapal akan berteriak :"Ya Allah!"

Apabila seseorang tersesat di tengah padang pasir,kenderaan menyimpang jauh dari laluannya,dan para kafilah merasa kebingungan menentukan arah perjalanannya,mereka akan berseru :"Ya Allah!"

Apabila tertimpanya musibah,bencana melanda,dan berlakunya tragedi,mereka akan menyebut :"Ya Allah!"

Apabila pintu ditutup di hadapan pencari kerja dan tirai-tirai ditutup di depan orang yang meminta,mereka akan berseru :"Ya Allah!"

Apabila berbagai usaha tidak mampu menyelesaikan,setiap jalan terasa terhimpit,harapan terhenti,dan semua jalan pintas telah buntu,mereka akan menyeru :"Ya Allah!"

Apabila dunia terasa sempit disebabkan himpitan persoalan hidup dan jiwa terasa seolah tertekan oleh bebanan kehidupan yang harus dipikul,mereka akan menyeru :"Ya Allah!"

Telah kukhabarkan kepadaMu
segala hal seperti cercaan.
Pekat dan wajah waktu lebih gelap berdebu.
Lalu kupanggil jelas namaMu
di waktu Subuh menanti dan setiap fajar menyinsing
selalu terdengar namaMu terucap.


Hanya kepadaNya sahaja yang layak dipanjatkan kalimah-kalimah yang indah,doa yang ikhlas,bisikan yang jujur,air mata yang menitis penuh keikhlasan dan keinsafan,dan ratapan derita yang membingungkan.

Hanya kepadaNya kedua telapak tangan dihulurkan setiap kali menjelang Subuh,iaitu tangan-tangan orang yang memerlukan pertolonganNya,dan tatapan mata hamba yang penuh harapan,dan segudang benak yang bertanya tentang banyak peristiwa.

Ketika lidah bersenandung menyebut namaNya,memohon,mengharap dan memanggil. Dengan menyebutNya,di mana hari akan menjadi damai,jiwa akan terasa tenang,perasaan menjadi tenteram,saraf tidak lagi menegang,aqal menjadi sejuk dan keyakinan menjadi mantap.

Allah,sebaik-baik nama,susunan huruf yang paling indah,ungkapan yang paling tulus,dan kata yang paling bernilai. BagiNya segala kekayaan dan keabadian,kekuasaan dan kekuatan,keagungan,kemampuan dan kebijaksanaan. BagiNya kebijaksanaan,pertolongan,keringanan,bantuan,cinta,dan kebaikan. Sang Pemilik segala keagungan,kewibawaan dan keperkasaan.

Sekalipun kulukiskan keagunganMu
dalam goresan
sebagai tanda kesucian yang mempererat jiwa
Engkau tetap Yang Teragung
dan tempat segala yang bermakna.
Ya Tuhan,hanya pada keagunganMu
segalanya terasa lapang.


Ya Allah,gantikanlah penderitaan ini dengan kesenangan,balasan kesedihan sebagai hal yang menggembirakan,dan hilangkanlah perasaan takut ini kepada ketenteraman.

Ya Allah,sejukkan gelora hati dengan salji keyakinan,dan padamkan gelojak api jiwa dengan air keimanan.

Ya Allah,berikan rasa mengantuk sebagai kenyamanan bagi mata yang tidak dapat pejam.

Berikan rasa damai bagi jiwa-jiwa yang resah ini suatu kedamaian,dan berikanlah dengan kemenangan yang nyata.

Ya Allah,tunjukkanlah penglihatan ini menuju cahayaMu,bimbinglah kesesatan ini ke arah jalanMu,dan bimbinglah orang yang tergelincir menuju petunjukMu.

Ya Allah,lenyapkan segala keraguan dengan cahata mentari di ufuk timur.Hancurkan segala kebatilan yang bersarang di dalam perasaan dengan secerah sinar kebenaran.Hapuskan segala tipu daya syaitan dengan pertolongan bala tenteraMu.

source;La Tahzan